Friday, August 12, 2011

cerpen untuk awak

cerpen ini ditujukan khas buat awak,
:: maaf sb lambat tunaikan permintaan akhir awak nih ;
:: dan maaf juga sb karya ini hanya diolah dalam bentuk cerpen,
dan bukannya dalam bentuk novel macam yang awak minta ;

:: KARYA INI ADALAH 90% DIOLAH DARI KISAH SEBENAR ;
:: BERTUJUAN UNTUK MEYEMPURNAKAN HAJAT AKHIR SESEORANG YANG TELAH PERGI ;
:: BUKAN BERTUJUAN MENGAIBKAN,
HANYA INGIN BERKONGSI CERITA.....

Memori Cinta Remaja

November 2011
Sesusuk tubuh kurus tinggi berdiri tegak di tengah-tengah laluan pejalan kaki menghadap pintu pagar Asrama Pusat Daerah Gunung Semambu. Ditangannya tersisip kemas beg kertas berisi warkah undangan. Wangi dan berwarna merah jambu. Langkahnya seakan mati disitu, tak mampu untuk meneruskan mahupun berpatah balik. Hanya bebola matanya terus tajam memerhati kawasan persekitaran yang telah sekian lama ditinggalkan. Sesekali juga terbit genangan jernih di penghujung bebola mata berwarna coklat keperangan itu, namun dengan pantas pula diseka menggunakan hujung lengan baju yang dipakai. Hatinya terasa berkeriut-keriut menahan pilu.
Bunyi hingar bingar pelajar yang baru pulang dari sekolah mengejutkan renungan matanya yang tajam menikam. Namun dia masih disitu, dan kini renungan matanya terarah pula kepada gerombolan pelajar yang menuju asrama. Keriuhan yang dirasainya kini tetap sama seperti dahulu, namun yang menarik perhatiannya adalah gelagat sepasang remaja yang berjalan riang. Sesekali si teruna mengusik si dara dan sesekali pula mereka riang ketawa. Sungguh, panorama itu kembali mengingatkannya tentang memori cinta remaja, lewat 7 tahun lalu.
September 2004
Loceng bordering, nyaring dan panjang, menandakan waktu persekolahan telah pun berakhir. Suasana riuh rendah menyelubungi persekitaran Sekolah Menengah Semambu. Ada yang berlari laju menuju pagar sekolah, ada yang berjalan senggang bersama rakan dan tidak kurang juga yang berjalan berpasang-pasangan. Langkah Suci Adura disusun seperti selalu, lemah dan seakan-akan melayang. Dengan tubuhnya yang kurus tinggi itu, dengan sekali tolak sahaja, tubuh tidak berdaging itu bisa rebah ke tanah. Bahkan jika ditiup angin kencang sekalipun, pasti bisa melayang-layang tubuh kurus melidi Suci Adura bak kain yang disidai di ampaian. Dan seperti kebiasaannya juga, sebaik keluar dari pagar sekolah pasti ada sesusuk tubuh, juga kurus melidi sepertinya, setia menunggu di laluan pejalan kaki. Aish Haiqal, juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Semambu, teman sebaya Suci Adura. Hmm, lebih tepat jika digambarkan sebagai teman luar biasa atau boleh juga ditafsirkan sebagai teman tapi mesra.
Kata orang cinta remaja memang indah. Janji dipateri walau masa hadapan yang menanti masih tak pasti. Di Sekolah Menengah Semambu, juga sepanjang laluan pejalan kaki menuju asrama pusat yang letaknya tidak jauh dari Gunung Semambu menjadi saksi panahan janji antara dua remaja, Suci dan Aish. Setiap pagi hari persekolahan, Suci akan setia menanti Aish di luar pagar Asrama Pusat Daerah Gunung Semambu, manakala di sebelah tengaharinya pula Aish Haiqal setia melakukan rutin yang sama dengan menunggu Suci di laluan pejalan kaki di luar pagar sekolah. Kenapa di luar pagar? Oh ya, begitulah peraturan cinta remaja yang popular diamalkan dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama bertujuan mengelakkan tautan hati dihidu oleh pelajar senior mahupun warden asrama. Jika hubungan cinta antara dua remaja dapat dihidu, pasti padah yang menimpa mereka.
‘Tak kira apa pun yang jadi, orang akan sayang awak sampai bila-bila’, tutur Aish luhur pada suatu hari. Ketika itu Aish dan Suci sudah semakin menghampiri  pagar asrama, lokasi yang memisahkan hubungan mereka sementara menanti fajar pagi menjelma. Hati remaja Suci Adura terasa ingin melompat keluar dari badannya lalu terbang di awangan. Sungguh Suci Adura merasa gembira, bahkan terlalu gembira dengan janji yang ditutur Aish. Walau bicara luhur itu dibalas dengan hanya sekeping senyuman mulus dari Suci Adura, namun Aish Haiqal sudah cukup berpuas hati. Malah Aish Haiqal juga sangat pasti bahawa getaran didadanya kini turut dikongsi bersama gadis manis tersebut.
Hubungan cinta remaja antara Aish Haiqal dan Suci Adura berlangsung seperti biasa. Masih buat tidak kenal antara satu sama lain di asrama mahupun disekolah, namun di luar pagar kemanisan pun bermula. Segalanya yang indah-indah sahaja sehinggalah pada suatu hari.
‘Suci, ibu betul-betul perlukan bantuan Suci. Ayah sakit sayang, dan pihak hospital pula masih tak dapat kesan punca penyakit ayah. Kakak dan abang pula masing-masing sibuk uruskan keluarga sendiri. Suci baliklah yer, sekolah di kampung. Sekurang-kurangnya, sementara ibu ke sana ke mari mencari penawar penyakit ayah, Suci boleh bantu ibu uruskan hal di rumah,’ bicara sendu ibu di corong telefon tidak lagi Suci dengari. Di jiwanya kini berperang dengan perasaan sendiri. Antara rasa kasih dan cinta terhadap seluruh isi Sekolah Menengah Semambu terutamanya sekali Aish Haiqal, atau rasa tanggungjawap dan cinta terhadap darah daging sendiri. Dan belum habis lagi benaknya bersoal-jawap dengan hati dan minda sendiri, kakak dan abang telah pun datang ke sekolah bagi menguruskan hal perpindahannya. Allahuakbar. Sesungguhnya hanya kepada Allah Yang Maha Esa Suci Adura serahkan untung nasibnya selepas ini.
Sesungguhnya urusan pertukaran sekolah bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Dengan mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran, maka dengan rasminya masa bagi Suci Adura bergelar pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Semambu akan berakhir kurang dari seminggu. Berat bagi Suci Adura meninggalkan, dan berat juga bagi Aish Haiqal untuk melepaskan. Dan tengahari itu, di hari terakhir bagi Suci melalui laluan pejalan kaki yang sebelumnya banyak memberi kebahagiaan kepadanya,  kini aura laluan itu seperti sudah kehilangan seri. Baik Suci mahupun Aish, masing-masing hanya mendiamkan diri, tunduk menekur lemah langkah yang tersusun. Sebelum berpisah dipagar asrama, sepucuk surat berbau harum yang berwarna merah jambu berganti tangan, dan Suci dapat mengesan genang jernih di tubir mata Aish.
‘Maafkan Suci. Walau selepas ini laluan kita sudah berbeza, namun orang harap mimpi kita tetap sama. Ingatlah janji yang awak tetap akan sayangkan orang sampai bila-bila tak kira apapun yang terjadi.’
                                                                                                                                                Salam kasih :: Suci Adura
Warkah ringkas itu ditenungnya dalam-dalam. Jauh di sudut hati Aish Haiqal, dia tidak merelakan perpisahan ini.
Oktober 2005
Tahun ini, tahun penting bagi Aish Haiqal dan juga Suci Adura. Tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan SPM. Permulaan langkah baru bagi mereka untuk mencipta masa hadapan. Di tanggal ini juga, sudah setahun peristiwa perpisahan itu berlalu. Baik Aish mahupun Suci, masing-masing bebas meneroka laluan sendiri. Alhamdulillah, hasil usaha keras ibunya serta doa dan tawakal kepada Allah, penyakit misteri yang menyerang ayah Suci telah sembuh sama sekali. Aish pula, sejak kejadian perpisahan di pagar Asrama Pusat Daerah Gunung Semambu setahun yang lalu, langsung tidak pernah menghubungi Suci Adura. Sedangkan Suci pula di daerah kelahirannya setia menanti Aish bagi mengotakan janji yang pernah mereka pateri. ‘Tak kira apa pun yang terjadi, orang akan sayang awak sampai bila-bila’ janji luhur Aish masih terpahat kuat diingatannya.
Suatu hari, di hari pertama Suci Adura menduduki peperiksaan SPM, tanpa disangka-sangka Suci mendapat panggilan yang dinanti-nantikannya selama ini. ‘Selamat menduduki peperiksaan awak. Buat yang terbaik, orang yakin awak boleh,’ walaupun ucapan Aish Haiqal terlalu ringkas dan tidak mampu memadamkan gelora rindu selama setahun yang telah berlalu juga tidak mampu menjawap segala persoalan di mindanya, namun Suci Adura tetap merasa bahagia. Malah Suci Adura menduduki peperiksaan dengan semangat yang segar dan hati berbunga.
April 2006
Keputusan peperiksaan Suci Adura melayakkan Suci untuk menyambung pengajian di Politeknik, juga di Tingkatan Enam. Namun, ayah mahukan Suci Adura untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam kerana menurut ayah, ketika itu selangkah kakinya telah pun berada di Universiti. Hanya perlu usaha keras sedikit sahaja lagi beserta doa dan tawakal kepada Yang Maha Kuasa, insyaallah cita-citanya untuk ke menara gading akan terlaksana. Manakala bagi Aish Haiqal pula, dia lebih selesa meneruskan pengajiannya di Institut Latihan Perindustrian kerana baginya dia perlu membina tapak yang kukuh bagi dirinya sebelum membina kerjaya. Biarlah Suci Adura berjaya dalam bidang pelajaran dan dirinya pula akan berusaha mempersiapkan diri dengan segala kemahiran yang ada bagi menempuh alam pekerjaan kelak. Dan sekali lagi, laluan yang harus mereka tempuh tidak sama.
November 2007
Tahun 2007 hampir melabuhkan tirainya. Walaupun hubungan cinta remaja antara Suci dan Aish kelihatan berjalan seperti biasa, namun dugaan demi dugaan harus mereka tempuh. Mereka walau dilihat melakar mimpi yang sama, namun bintang yang mereka tatap tetap berbeza. Suci Adura, seorang gadis mulus yang berpegang teguh pada janji cinta remaja. Baginya cinta hanya datang sekali, dan disebabkan itu, walau sepayah mana sekalipun dugaan yang melanda, Suci tetap akan mempertahankan hubungan cinta remajanya bersama Aish Haiqal. Walaupun usia percintaan mereka menginjak usia 3 tahun, namun sepanjang tempoh itu, mereka jarang berhubungan apatah lagi berjumpa. Aish Haiqal bagaikan biskut chips more. Sekejap dia muncul dalam kehidupan Suci, dan sekejap pula dia pergi begitu saja. Menghilang untuk beberapa bulan sebelum menghubungi Suci semula seperti sebelumnya. Aish Haiqal terlalu memikirkan jarak yang jauh antara mereka sebagai penghalang terbesar dalam hubungan yang mereka bina. Pencapaian Suci Adura dalam pelajaran juga begitu membanggakan, tentulah Aish Haiqal merasa jauh ketinggalan. Lagi pula, Suci Adura cantik orangnya, pasti ramai lelaki yang mahu mendampingi. Dan bila keyakinan Aish Haiqal untuk bersama Suci Adura semakin merudum, tika itulah Aish akan bertindak mendiamkan diri buat beberapa lama. Cuba untuk menjauhi Suci Adura dan akhirnya menyedari rasa yang dia punya terlalu kuat untuk dipadamkan.

April 2008
Saat yang tidak mungkin Suci Adura lupakan dalam memori cinta remajanya. Buat pertama kalinya setelah hampir 4 tahun usia cinta remaja mereka, Aish Haiqal mengucapkan kata selamat ulang tahun di hari kelahirannya. Tahun-tahun sebelum ini, setiap kali ulang tahun kelahirannya, ketika itulah Aish Haiqal tidak dapat dihubungi. Sebenarnya juga Aish Haiqal tidak tahu bilakah tarikh kelahirannya, sedangkan setiap kali ulang tahun kelahiran Aish, Suci Adura selalu menjadi insan pertama yang mengucapkan selamat kepadanya. Begitu luar biasa tahap kesabaran yang dimiliki oleh Suci Adura. Tetap mahu menyelamatkan hubungan cinta remaja yang selalu berkeadaan seperti telur di hujung tanduk daripada retak dan pecah berderai.
Sementara menantikan keputusan peperiksaan STPM, Suci berkerja sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat tuisyen ternama di daerah kelahirannya. Suci Adura sanggup bersusah payah turun naik bas setiap hari demi mengukuhkan kerjayanya di sana. Sebenarnya, Suci Adura mempunyai percaturan sendiri. Beliau mahu diserap sebagai pekerja tetap di pusat tuisyen itu kerana beliau mahukan pekerjaan yang boleh menjamin kehidupannya kelak. Setelah keputusan peperiksaan STPM diumumkan, Suci Adura langsung tidak berminat untuk meneruskan pengajian walaupun keputusan yang diperolehinya baik. Sebenarnya Suci mahu merapatkan jurang antara dirinya dan Aish, beliau mahu Aish berkeyakinan untuk memilikinya. Dan hasrat itu tidak akan tercapai seandainya dia meneruskan pengajian kerana Suci Adura yakin dan pasti pasti Aish akan merasa lebih rendah diri kerana tidak memiliki tahap pendidikan setinggi Suci.
Namun, hasratnya dibantah keras oleh Aish, dan dengan bantuan Aish, akhirnya Suci Adura berjaya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia. ‘Orang nak awak berjaya dalam pelajaran. Biar orang kat sini bina kerjaya dari bawah. Nanti bila kita kahwin, kalau anak-anak kita rajin belajar, diaorang akan jadikan awak idola, tapi kalau ada anak-anak kita tak minat belajar, diaorang akan ikut jejak langkah orang, bina kerjaya dari tahap paling rendah. Lagipun kat UKM ada kakak orang, senang nanti kalau jadi apa-apa, kakak orang ada. Orang gak janji takkan jadi biskut chips more lagi dengan awak,’ panjang bicara Aish malam itu, mengalun melodi indah dalam jiwa Suci Adura.
Oktober 2008
Pada awal Suci Adura menjalani kehidupan sebagai mahasiswi, semuanya tampak baik-baik sahaja. Malah hubungannya dengan Aish Haiqal juga bertambah baik. Boleh dikatakan setiap hari Aish Haiqal akan menghubunginya. Ini menguatkan lagi azam Suci untuk mendapatkan segulung ijazah pada September 2011 nanti. Insyaallah. Di UKM, Suci banyak mengikuti aktiviti yang bercorak rekreasi luar. Melalui aktiviti ini juga membuatkan Suci lebih banyak bergaul tak kira jantina, agama dan bangsa.
Benarlah kata orang, kadang kala kecanggihan teknologi juga boleh mengundang bencana. Begitulah yang terjadi kepada Suci dan Aish. Ketika itu demam Friendster sedang melanda, dan baik Suci mahupun Aish juga tidak ketinggalan dalam arus kecanggihan medan komunikasi tersebut. Dipendekkan cerita, gambar-gambar aktiviti Suci yang dikirim oleh rakan-rakannya mengundang curiga di hati Aish Haiqal. Aish Haiqal merasa terlalu kerdil untuk bergandingan dengan Suci Adura. Apatah lagi bila melihat Suci Adura yang begitu gembira dengan dunianya di kampus. Dan sekali lagi Aish Haiqal mengingkari janji dengan menyepikan diri daripada Suci kerana merasakan Suci Adura lebih layak untuk mendapat seorang lelaki yang setaraf tahap pendidikannya dengan Suci.
Lain pula halnya dengan Suci Adura, kini dia tidak lagi mampu membujuk hati untuk terus bertahan dengan kelakuan Aish Haiqal. Apatah lagi bila mengenangkan panggilan telefon dan pesanan ringkas yang dikirimnya langsung tidak mendapat reaksi dari Aish. Hati Suci semakin tawar dan kepercayaannya yang selama ini terbina teguh buat Aish kian goyah. Akhirnya walaupun selang dua minggu selepas itu Aish Haiqal kembali menghubunginya seperti sedia kala, kini giliran Suci Adura pula yang berubah tingkah laku. Daripada seorang gadis yang terlalu memahami dan tidak pernah persoalkan segala tindak tanduk Aish Haiqal, Suci menjadi seorang yang terlalu sensitif terutamanya apabila kehendaknya tidak dituruti.
Dua bulan telah berlalu, dan Aish Haiqal semakin tidak dapat memahami Suci. Suci juga seakan tidak mengenali dirinya sendiri, dia dapat merasakan masih teguh kasih dan cintanya terhadap Aish Haiqal, namun hatinya menjadi terlalu tawar apabila mengenangkan sikap Aish Haiqal kepadanya selama ini. Akhirnya, pada Disember 2008, setelah merasakan tiada lagi jalan buatnya bagi meraih kepercayaan Suci, Aish nekad mengundurkan diri. Sekali lagi teguhnya cinta remaja mereka diuji.
Mac 2009
Setelah tiga bulan membawa haluan masing-masing, suatu hari Suci menghubungi Aish. Itupun setelah mendapat khabar dari kakak Aish, yang Aish kini diserang demam panas. Patutlah dua tiga hari sebelum itu fikiran Suci kacau dan asyik teringat Aish Haiqal. Rupa-rupanya kumbang yang selama ini dirindui jatuh sakit. Begitulah kuatnya ikatan naluri yang terbina sepanjang mereka bersama. Apabila salah seorang dari mereka ditimpa musibah atau jatuh sakit, seorang lagi pasti akan resah dan gundah gulana. Naluri ini seolah-olah menggambarkan bahwa mereka bukan saja berhubung dari segi lahiriah dan boleh dilihat dengan mata kasar, namun juga dari sudut batiniah yang hanya mampu difahami oleh mereka yang mengalaminya. Ternyata dengan satu panggilan sahaja, hubungan cinta remaja mereka kembali bertaut.
April 2009
Tanggal ini, tanggal kelahiran Suci Adura. Namun apa yang membuat Suci merasa pelik adalah, walaupun seharian dia saling berbalas pesanan ringkas dengan Aish, namun tidak sepatah pun ucapan selamat hari lahir keluar dari mulut Aish. Masakan dia terlupa, bisik hati kecil Suci bersoal-jawap dengan hati sendiri. Dan malam itu, ketika Suci menghubungi Aish, suatu yang pelik dan tidak difahami telah diucapkan oleh Aish Haiqal kepadanya. ‘Orang ni jahat kan wak, dah tahu harini birthday awak pun, tapi tak wish apa-apa pun pada awak. Orang saja je buat macam tue, sebab orang taknak lepas ni awak harap orang akan wish birthday awak lagi’.  

Mei 2009
Suatu hari di bulan Mei, mereka berhubungan lagi. Kali ini bicara mereka lebih terarah kepada perbincangan tentang masa hadapan.
Aish       : ‘Awak, janji  dengan orang dua benda boleh?’
Suci        : ‘Taknak lah awak berjanji, takut tak dapat nak tunaikan’
Aish       : ‘Awak usahakanlah sampai boleh tunaikan’
Suci        : ‘Hmm. Ok lah. Apa dia?’
Aish       : ‘Janji dengan orang, walau apapun jadi, awak takkan tinggalkan study awak, and lagi satu, janji        dengan orang, awak akan sayang keluarga orang macam awak sayang keluarga awak sendiri’ 
Suci        : ‘Hmm. Ok awak, orang janji, apa pun jadi orang takkan tinggalkan study and orang gak akan              sayang family awak sama macam orang sayang family orang sendiri’
Aish       : ‘Betul eh awak janji ni? Ingat, orang nak sangat tengok awak konvo tau’
Suci        : ‘Ye sayang, orang janji’
Aish       : ‘Awak jangan risau eh, awak study je, nanti umur kita 27 tahun tunggu jek lah rombongan     sampai kat rumah awak’
Indah sangat malam itu sehingga Suci masih mampu mengingat setiap butir bicara yang dituturkan Aish kepadanya. Suci Adura semakin yakin, inilah cinta pertamanya, juga dia akan berusaha untuk memastikan Aish Haiqal adalah cinta terakhirnya.
1hb Jun 2009
Setelah hampir 6 bulan tidak bertemu, hari itu mereka bertemu jua atas permintaan bersungguh-sungguh dari Aish Haiqal. Aish kelihatan sangat gembira hari itu, mereka makan, berjalan-jalan dan juga menonton wayang bersama-sama. Namun, sebelum berpisah Aish kelihatan murung tidak seperti di awal pertemuan tadi yang banyak berbicara dan ketawa. Ketika melintasi jalan, Aish genggam kuat tangan Suci Adura seakan tidak mahu melepaskan. Pandangan mata Aish juga berat dan sendu. Seakan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Aish Haiqal. Tingkah laku Aish yang segera beredar walaupun ketika itu Suci belum menaiki bas juga amat menghairankan Suci. Namun Suci hanya mendiamkan diri dan tidak bertanyakan apa-apa kepada Aish memandangkan Aish kembali berbual seperti biasa di corong telefon.
14hb Jun 2009
Seperti selalu mereka saling berbalas khidmat pesanan ringkas. Banyak yang mereka bualkan dari tengahari membawa ke malam. Aish Haiqal juga ada berjanji akan menemani Suci pulang ke kampus pada 27hb Jun nanti untuk melapor diri di semester pertama dalam tahun kedua di UKM. Sehinggalah Suci tertidur akibat sakit kepala yang menyerang, tidur Suci tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan telefon dari rakan baik Aish, Asri yang mengatakan Aish terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan serius. Menggigil seluruh tubuh Suci saat Suci mendail nombor telefon ibu Aish bagi memaklumkan berita nahas itu.  Kalau diikutkan hati ingin sekali Suci bergegas ke hospital bagi melihat sendiri keadaan Aish, namun mengenangkan keadaan ayahnya yang tidak boleh memandu di waktu malam, membantutkan hasrat Suci. ‘Awak, orang harap sangat awak ok. Tunggu orang datang pagi nanti wak eh. Orang sayang awak, sayang sangat’, Suci sempat mengirimkan pesanan ringkas buat Aish, walaupun Suci tahu dalam keadaan sekarang, Aish tidak mungkin akan dapat membaca mahupun membalas pesanan ringkas yang dikirimnya, namun Suci tetap berharap agar apabila Aish buka mata nanti, dia akan tersenyum membaca pesanan tersebut.
15hb Jun 2009
Jam 1.00 pagi, iaitu kira-kira 45 minit selepas Suci mendapat berita nahas yang menimpa Aish, Suci Adura mendapat kiriman pesanan ringkas dari kakak Aish yang mengatakan harapan untuk Aish hidup hanya tinggal 40%. Hanya Tuhan yang tahu perasaan Suci waktu itu, namun tidak banyak yang mampu Suci lakukan selain berdoa agar Aish kuat menghadapi saat getir ini. Suci duduk berteleku di sejadah, membuat solat hajat juga bacaan yasin, memohon dengan seribu pengharapan agar diberi kesempatan buatnya untuk berada di sisi Aish. Dia mahu Aish Haiqal kuat melawan saat getir ini, dia mahu Aish pulih agar dia bisa di samping Aish, menjaga dan merawat sehingga Aish benar-benar pulih. Namun entah bisikan mana yang menghasut, secara tiba-tiba naluri hatinya berbisik ‘pergilah sayang, pergi dengan tenang k’. Walau cuba dilawan bisikan jahat itu namun naluri hati Suci kuat mengatakan dia perlu melepaskan Aish pergi.
Jam 4.25 pagi, sekali lagi Suci mendapat pesanan ringkas dari kakak Aish mengatakan Aish Haiqal tiada lagi harapan untuk hidup. Allahuakbar. Suci cuba menguatkan hati walau saat itu Suci tahu dia bakal kehilangan Aish Haiqal. Suci tidak sanggup lagi untuk melihat telefon bimbitnya, apatah lagi untuk menerima apa-apa panggilan telefon. Suci Adura begitu takut untuk berdepan dengan kenyataan yang bakal merubah seluruh kehidupannya selepas ini. Suci berlari ke dapur, menangis teresak-esak di meja dapur. Hancur luluh hati ibu dan ayah Suci apabila melihat puteri bongsu mereka yang selama ini selalu kelihatan gembira dan bersemangat kini berendam air mata. Hilang sudah senyuman manis milik Suci Adura yang selama ini menjadi kelebihan buat dirinya.
Jam 5.20 pagi, telefon bimbit Suci berdering nyaring. Hati Suci berdegup kuat, dan dengan segala kepayahan Suci menguatkan hatinya untuk menjawap panggilan telefon tersebut.
Asri        : ‘Suci, Asri ni’
Suci        : ‘Ye’
Asri        : ‘Suci datang lah hospital cepat. Asri takut Suci tak sempat nak tengok Aish buat kali terakhir,’
Suci        : ‘Apa Asri  cakap ni????’
Asri        : ‘Aish dah takde Suci’
Dan dengan segera panggilan telefon dimatikan. Tidak, Suci tidak akan percaya berita yang didengarinya sebentar tadi. Suci Adura yakin Aish Haiqal kini sedang menunggunya, kan malam tadi sebelum Suci terlelap, Aish Haiqal ada meminta Suci untuk mengejutkannya jam 7.10 pagi. Suci yakin Aish sedang lena tidur kini. Sepuluh minit selepas panggilan dari Asri tadi, Suci menerima pula panggilan telefon dari kakak Aish, juga menyampaikan berita yang sama. ‘Suci, adik dah takde’. Suci terduduk di muka pintu, seakan ada batu besar yang meghempap dirinya. Pandangan Suci gelap gelita, saat ini Suci benar-benar tidak tahu apakah yang bakal terjadi kepada kehidupannya selepas ini.
Bagaimana Suci ingin meneruskan hidup sedangkan selama hampir 5 tahun ini, kasih dan cintanya teguh buat Aish Haiqal. Selain dari keluarganya, Aish lah insan yang paling banyak memberi sokongan dan dorongan saat dirinya berdepan dengan tekanan. Malah Aish lah insan yang tak pernah jemu membuatkannya senyum dan ketawa. Walaupun hubungan mereka sering dilanda badai, namun setiap detik yang mereka lalui bersama memberi kebahagiaan dalam kehidupan Suci Adura.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Aish Haiqal, Suci masih mengharapkan keajaiban bakal berlaku. Siapa tahu mungkin jantung Aish hanya terberhenti seketika dan bakal berdenyut lagi. Saat kakak Aish memaklumkan Aish kini sedang dibedah siasat, Suci masih lagi memasang harapan agar pihak polis bedah orang yang salah. Dan Aish masih lagi bernafas dan kini sedang menunggunya.
Di rumah Aish suasana pilu menyelubungi persekitarannya. Jiran-jiran semakin ramai memenuhi perkarangan rumah. Ada yang mengucapkan takziah dan ada juga yang membaca surah yasin. Sedang Suci hanya menanti kepulangan Aish di muka  pintu. Langsung tidak dihiraukan mata-mata yang mencuri pandang ke arahnya. Saat ibu Aish memeluknya, Suci masih begitu. Hanya terdiam tanpa sebarang suara. Pandangan mata Suci kini kosong, Suci sendiri tidak pasti apakah yang sedang bermain difikirannya kini.
Jam 1.00 petang, seluruh isi rumah dikejutkan dengan deringan siren yang berlagu sayu menambahkan lagi suasana hening di situ. ‘Awak dah balik’, bisik Suci dan dengan segera Suci berdiri dihadapan pagar bagi menyambut kepulangan Aish. Namun nyata harapan yang Suci bina palsu sama sekali. Hanya sekujur tubuh kaku berbalut kain putih yang diusung masuk ke dalam rumah. Suci hampir rebah, namun kata-kata dari kakak dan abang ipar Aish memberinya kekuatan untuk ‘berdepan’ dengan Aish buat kali terakhir. ‘Suci kena kuat, kalau Suci meratap macam ni, Aish akan makin sakit. Suci sayang Aish kan? Suci mesti tak mahu Aish sakit kan sayang? Banyak-banyak istighfar dalam hati yer’.
Ye benar, Suci sayangkan Aish, malah terlalu sayang. Dan oleh sebab sayang itulah Suci tahan perasaannya jauh-jauh dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Suci tahu, roh Aish berlegar-legar di perkarangan rumah sekarang , dan Suci mahu Aish lihat dia kuat menghadapi saat kehilangan yang tidak terduga ini. Agak lama Suci mengumpul kekuatan dengan hanya duduk di sudut rumah melihat isi  keluarga Aish mengelilingi jenazahnya sambil menghadiahi bacaan yasin. Setelah dirasakan dia cukup bersedia untuk menatap dan mendekati Aish buat terakhir kali, barulah Suci pergi mengambil wuduk dan mencapai surah yasin. Dengan perlahan-lahan pula Suci Adura menghampiri Aish Haiqal, hero dalam ceritera cinta remajanya. Suci pandang wajah pucat kuning Aish, lengkap bercelak dan berkopiah. Suci tersenyum sendiri, wajah Aish kelihatan lebih tampan dengan celak tebal di kening.
Suci pandang pula hidung Aish Haiqal, masih sama seperti hayatnya, mancung terletak. Pandangan mata Suci beralih pula ke dada Aish, mengharap ada gerakan turun naik di situ. Saat itu, Suci berbisik dalam hati, seandainya ditakdirkan Allah Aish akan bangun, biarlah semua yang hadir hari itu bertempiaran melarikan diri, namun Suci Adura akan tetap disisi Aish. Namun Aish tetap seperti waktu mula sampai ke rumah tadi, terbaring kaku seolah-olah lena yang tidak mahu diganggu.
Akhirnya setelah lama memerhati, Suci mula mengalunkan bacaan yasin. Biarlah, kali ini buat yang terakhir kali Aish mendengar merdu suaranya mengalunkan bacaan yasin. Walau bacaannya tersekat-sekat lantaran pilu yang terlalu mencengkam, namun Suci puas kerana dapat berada disamping Aish Haiqal hingga saat Aish Haiqal hilang dari pandangan.
Oktober 2011
Dua tahun telah berlalu kini. Alhamdulillah, Suci Adura telah dapat menunaikan permintaan Aish. Pada bulan September yang lepas, Suci akhirnya berjaya mendapatkan segulung ijazah. Apa yang membuatkan Suci bahagia apabila keluarganya juga keluarga Aish sama-sama berkumpul bagi meraikan kejayaannya. Alhamdulillah, Suci memanjatkan kesyukuran kerana Suci tahu jauh di sana Aish Haiqal dapat melihat kejayaannya. Tentang hubungannya dengan keluarga Aish pula, tidak ubah seperti keluarga sendiri. Malah Suci turut memanggil orang tua Aish dengan panggilan ibu dan abah. Suci sering berkunjung ke rumah keluarga Aish jika ada waktu terluang. Mereka berkongsi rasa kasih dan ketabahan kerana mereka sama-sama kehilangan.
Alhamdulillah, dengan sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari keluarga Suci mahupun keluarga Aish sendiri, Suci Adura kini mampu bangkit sepenuhnya dari kekecewaan. Baginya Aish Haiqal adalah anugerah terindah pernah Tuhan anugerahkan buatnya, dan hadirnya Aish Haiqal tidak akan diminta buat kali yang kedua.  Suci Adura redha, mengenali Aish Haiqal walau bukan untuk dimiliki namun dia puas kerana telah memberikan yang terbaik sepanjang perhubungan mereka dulu. Begitulah adat cinta, kadang kala hadirnya hanya untuk dirasa bukan dimiliki selamanya.
Dan Suci Adura walau dirinya percaya cinta itu datang hanya sekali, namun dia juga tidak menolak kehadiran cinta kedua dalam hidupnya. Ariff Muhammad adalah insan istimewa yang menghuni hatinya kini. Ariff Muhammad merupakan seorang jejaka yang jauh bezanya dari Aish Haiqal namun punya keistimewaan sendiri. Ariff juga ikhlas menerima diri Suci, kisah silam Suci serta keluarga Aish.  Alhamdulillah Ya Allah.
Suci Adura yakin kini, penutup bagi segala kedukaan yang pernah dilaluinya telah ditemui. Oleh itu dia tanpa ragu akan menuju ke permulaan catatan memori cinta remajanya untuk menyampaikan khabar gembira. Walau Suci tahu hati kecilnya bakal tercuit, namun dia mahu seluruh isi Sekolah Menengah Semambu juga warga Asrama Pusat Daerah Gunung Semambu meraikan hari bahagianya nanti.
Sekian, catatan Memori Cinta Remaja, yang diolah khas buat seseorang yang telah pergi, bagi menunaikan hajat terakhirnya. Salam.



AL-FATIHAH

2 comments:

  1. sabar ye sayang..
    al-fatihah buat yang telah pergi..
    yang penting segulung ijazah buat kebanggaannya
    :)

    ReplyDelete
  2. tq sayang =)
    alhamdulillah dapat juga siapkn karya nih,, even it's take a long time to fufill his last wishes..
    september nnt,, insyaallah akan berjaya gak tunaikan semua hajat dia.. =)
    al-fatihah

    ReplyDelete

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers