Sunday, March 31, 2013

CORETAN BUAT KAU BAKAL ANAK KU


Duhai anak. Andainya suatu hari nanti kau merasa kecewa dengan aku ibumu, atau andainya suatu masa nanti kau merasa sebal dengan dia ayahmu, dengarkan ini. Coretan yang sempat ibu lakar sebelum kau melekat di dinding rahim ibu. Ibu melakar ini dengan tangisan, namun bukan air mata mu yang ibu damba sayang. Ibu hanya mahu kau mengerti betapa jerih kami menanti untuk memiliki kau duhai anak si jantung hati.
                Kisahnya bermula dengan penyatuan cinta kami, besar harapan ibu dan ayah agar segera memiliki kau zuriat lambang cinta abadi. Namun rezeki di tangan tuhan, apa lah daya kami untuk meminta-minta lebih dari yang Allah Rabbul Jalil berikan. Ibu dan ayah tidak cepat melatah, pelbagai cara kami usahakan.
                Dari satu bidan ke satu bidan kami beralih, dari satu jamu ke satu jamu kami jamah, masih lagi belum rezeki kami untuk memiliki kamu anak. Lirih hati ayah demi melihat rakan-rakan lain yang lebih lambat menikah dari kami mula menimang permata hati masing-masing. Ibu tahu ayah kecewa walau tidak pernah sekali ayahmu menyatakannya. Duhai anak, 1000 kali ayah berasa kecewa, malah ibu menanggung kesakitan lebih dari itu sayang.
                Kami mencuba lagi. Demi mendengar mana-mana jalan yang boleh kami usahakan, kami lakukan anak. Duit, masa dan tenaga usah dikata. Ibu juga sering menelaah mana-mana artikel yang ibu kira membantu untuk mendapatkan kamu. Namun anak, usaha kami kadangkala terbatas kerana kekangan kewangan melanda. Hanya ayah seorang yang bekerja sayang. Di zaman serba persaingan ini, ibu tewas bagi mendapatkan pekerjaan bagi membantu ayahmu walau ibu punya kelulusan.
                Pernah suatu masa ada seorang pengamal perubatan tradisional mengatakan adanya gangguan halus di rumah yang kami diami ini, maka kerana itulah kami lambat untuk menimang kamu. Untuk berpindah rumah bukan mudah anak, banyak kos yang perlu ayah fikirkan. Tapi ayahmu bukan selemah itu, ayah usahakan untuk menjalani perubatan islam pula bagi mengatasi gangguan yang melanda.
                Kau tahu anak, satu saat bermacam tanda kehamilan yang ibu telah rasa. Ayah juga yakin benar di dalam rahim ibu duduknya zuriat kami. Keyakinan ayah buat ibu gentar. Gentar andai kali ini kami kecewa lagi. Benar anak, kami kecewa lagi. Hanya satu garisan yang terpapar di kit ujian kehamilan yang ibu lakukan. Tahukah kau anak, lama ayah meneliti kit kehamilan tersebut, mungkin ayah menanti keajaiban berlaku. Dan kami masih menantimu hingga ke detik ini.
                Senyap-senyap ibu melayari internet, mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang mampu ibu dapatkan kerana ibu berkira-kira mahu mendapatkan rawatan di hospital. Sekurang-kurangnya dengan melakukan scan rahim dan ovari bagi  mencari punca keterlewatan kami bagi memiliki kamu. Mengalir air mata ibu anak, hati ibu bagai tersayat demi melihat jumlah angka yang perlu ayah sediakan untuk membolehkan ibu menjalani rawatan tersebut. Telah ibu katakan tadi, hanya ayah yang bekerja maka segala beban berada di pundaknya. Itu belum termasuk lagi bagi rawatan di pihak ayah.
      Oh anak, bukan niat ibu untuk membangkit atau mengungkit. Andainya suatu hari nanti kau terbaca coretan ibu ini, ibu mahu kau mengerti getir yang kami lalui bagi mendapatkanmu sayang. Ibu mahu kau mengerti agar kau bisa lebih menghargai, bukan saja kepada kami ibu ayahmu, juga kepada istri atau suamimu juga kepada anak-anakmu. Selamat datang wahai putera puteri yang kami nanti, selamat datang wahai si jantung hati. Ibu dan ayah setia menanti. Insya Allah.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                -31 Mac 2013-  
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers