Friday, March 16, 2012

cerpen

CINTA SEORANG NENEK

Seusia nenek cinta nenek hanya tertumpah pada satu. Setia nenek tak pernah berpaling-paling lagi walau jalan yang nenek tempuh sungguh berliku. Maklumlah kehadiran nenek dalam keluarga atuk terkemudian sekali. Saat anak-anak atuk telah mampu berdiri di atas kaki sendiri, untuk menguruskan diri sekurang-kurangnya. Fizikal nenek tidak memungkinkan untuk nenek bergerak pantas seperti manusia lain. Namun nenek tetap nenek. Cinta nenek hanya di situ walau pelbagai tohmahan terpaksa nenek telan satu-persatu.

Dulu masa kudrat atuk masih kuat, aku gemar menghabiskan masa bersama mereka. Petang-petang pun aku sanggup naik Bas Kopenda bewarna hijau putih yang asabnya tebal hitam melekat. Dan atuk setia menanti di hujung simpang bersama Yamaha buruknya. Malu? Persetankan sahaja mata-mata yang memandang kerana aku gemar begitu. Sesekali ku rasa gigilan motor Yamaha atuk. Mungkin atuk sudah tak berapa kuat mahu membawa aku cucunya yang tidak betah duduk diam di atas motor.

Rutin di rumah atuk bermula dengan ngauman enjin Yamaha atuk. Pagi-pagi atuk akan keluar ke kedai Wak Salam untuk membeli ayam dan juga sayur. Kadang-kadang atuk beli jering dan petai untuk dibuat ulam. Sebelum balik, atuk singgah di sebelah kedai Wak Salam untuk beli roti canai berkuahkan kari. Walau kadang-kadang di rumah telah tersedia jemput-jemput bilis atau nasi goreng, atuk tetap dengan rutinnya. Cucu yang bertandang tetap dijamu dengan roti canai ataupun kuih-muih.

Lepas sarapan aku macam biasa menuju ke depan tv menonton kartun. Atuk pula tekun di mesin jahit menjahit seluar atau baju yang koyak. Kadang-kadang, sambil nenek menjahit perca untuk dijadikan alas kaki, atuk tenang duduk di kerusi membantu nenek. Memotong kain-kain perca menjadi bentuk bulat, dan disusun pula mengikut warna. Hasilnya sungguh ajaib, dari kain perca yang dibuang orang, nenek jahit menjadi alas kaki yang cantik. Banyak juga nenek dan atuk dapat tempahan dari jiran-jiran. Tak terkecuali mak pun turut mendapatkan kain alas kaki buatan atuk dan nenek. Cantik katanya.  

Menjelang tengahari, atuk dan nenek mula masuk dapur. Nenek persiapkan segala bahan untuk memasak, dan atuk menyempurnakan tugasan dengan hidangan kari ayam yang sedapnya tak terkata. Aku? Aku hanya tolong mengupas kulit-kulit jering dan petai saja. Walaupun aku tak makan ulam-ulaman, tapi aku suka membantu nenek mengupasnya. Kadang-kadang saja aku bertanya pada nenek macam mana cara nk kupas, sedangkan dah beribu kali nenek ajarkan. Alah, saja nak manja-manja. Berbalik pada kari atuk yang sedap tadi, atuk memang pandai masak, maklumlah bekas tukang masak di istana. Kalau ada kerja kahwin di rumah saudara-mara, atuk masih kuatkan tenaga membantu menyediakan hidangan. Masak sudah sebati dengan jiwa atuk barangkali. Dari aku kecil, aku sangat gemarkan panorama ini. Bagi aku walau tiada sepatah bicara romantik yang keluar dari mulut keduanya, namun habit mereka yang gemar masuk dapur bersama-sama telah menzahirkan segalanya. Cinta tanpa mengenal usia.


Kala petang, sedang aku enak melayan mata dalam bilik pakcik, terdengar dentingan sudu berlaga dalam kole. Perlahan-lahan ku jengah ke arah dapur, ternampak atuk sedang membancuh teh tarik kegemarannya. Atuk memang tak banyak karenah, tak pernah menyusahkan nenek untuk menyediakan hidangan minuman kegemarannya. Samada atuk menikmati teh tarik di meja makan, takpun atuk duduk dibangku plastik di depan tv. Lagi satu tempat duduk kegemaran atuk adalah di tingkap kecil dalam bilik atuk. Atuk leka duduk di situ menikmati angin petang dan memerhati angsa jiran sebelah berkelahi. 

Suatu hari kami menerima panggilan mengatakan atuk diserang angin ahmar ketika sedang menunggang Yamaha  menuju ke kebun getah. Habis separuh badan atuk tidak mampu berfungsi lagi. Mujur ada Mak Usu yang lekas-lekas membawa atuk untuk berubat kampung. Akhirnya, walaupun atuk telah sembuh dari angin ahmar, namun kudrat atuk tidak sekuat dulu. Atuk kini tidak lagi boleh membawa aku berjalan-jalan menaiki Yamaha buruknya. Dan nenek masih setia di sisi atuk. Menemani atuk berborak tentang apa saja, walau bicara atuk kian sukar difahami.

Masa berganti, dan kudrat atuk seakan berkurang dari hari ke hari. Kalau nak berjalan waima ke bilik air sekalipun, atuk terpaksa memapah-mapah kerusi dan dinding. Kadang-kadang nenek yang pimpin atuk ke bilik air. Walaupun kadang-kadang Mak Long yang datang bertandang sering mengatakan nenek lambat buat kerja, ataupun Mak Usu berbisik-bisik memperkatakan perihal nenek yang tidak berkenan di mata mereka, namun nenek masih begitu. Senyum dan tawa nenek mengsirnakan duka di hatinya. 

Aku pun pelik, kenapa makcik-makcik selalu mengata nenek itu nenek ini. Kerna pada pandangan mata aku, nenek dan atuk begitu sempurna bersama. Mungkin sudah lumrah ibu tiri, walau baik macam mana sekalipun masih lagi tidak disukai. Ah pedulikan mereka kerana kami satu keluarga sangat menyenangi kehadiran nenek dalam kehidupan atuk.

Nenek insan istimewa. Masa Mak Usu satu keluarga duduk bersama di rumah atuk, segala lauk pauk nenek akan asingkan dalam bekas-bekas kecil. Setiap kali anak-anak Mak Usu pulang dari sekolah, nenek akan bahagikan bekas-bekas kecil itu kepada sepupu-sepupuku. Tindakan nenek itu adalah semata-mata supaya semua cucu-cucunya merasa lauk pada hari itu. Maklumlah kalau sudah lapar, lauk yang banyak pun nampak macam sikit. Jadi untuk mengelakkan cucu-cucunya kelaparan, jadilah nenek seorang nenek yang begitu aku kagumi kerana kesungguhannya. Nenek juga sangat cintakan kucing. Kalau goreng ikan, nenek akan asingkan isi ikan untuk kucing-kucingnya, dan nenek sendiri hanya meratah isi ikan yang terlekat di tulang ikan tersebut sahaja. Ouh nenek!! Nenek memang sangat baik hati.

Ketika atuk makin lemah dan banyak menghabiskan masa di atas katil sahaja, nenek masih setia disamping atuk. Segala keperluan atuk nenek sediakan. Dari mandikan atuk, bawa atuk pergi buang air, dan kadang-kadang pula nenek papah atuk berjalan perlahan-lahan untuk duduk di spot kegemaran atuk. Ya, di tingkap kecil itulah. Suatu ketika atuk semakin kerap buang air kecil, namun nenek x pernah merungut walau terpaksa bangun duduk banyak kali semata-mata nak bawa atuk ke tandas, kerana atuk tak mahu memakai lampin pakai buang. Begitu tabahnya nenek.

Suatu hari atuk minta karipap. Kakak buatkan karipap untuk atuk. Dan kami lihat malam itu atuk yang selama ini semakin hilang selera makan, mampu menghabiskan karipap yang kakak hidangkan untuknya. Sempat lagi atuk bergurau mengatakan karipap yang kakak buat, kalau makan sebiji pun sudah kenyang sebab saiznya yang besar. Bahagianya hati kami melihat atuk gembira malam itu.

Tanggal 14 Februari 2005, tanggal yang meragut kasih sayang nenek dari atuk. Atuk ditakdirkan pergi buat selamanya. Atuk pergi dalam keheningan pagi. Walau nenek tidak menyatakannya, namun aku percaya nenek merasa amat kehilangan. Sabarlah duhai nenek, kami di sini setia bersama nenek.

Masa nenek setelah pemergian atuk banyak dihabiskan bersama cucu-cucunya. Kadang-kadang ayah ambil nenek dan bawa tinggal dengan kami buat sementara. Kadang-kadang nenek bertandang pula ke rumah Mak Idah atau Mak Iju, anak-anak nenek. Pakcik pun selalu ada temankan nenek. Pernah ayah atau mak suarakan hasrat untuk bawa nenek tinggal bersama kami. Kami adik-beradik memang dah bersetuju dan gembira sangat kalau nenek nak tinggal bersama kami. Kami tahu nenek sunyi, selama ni hidup nenek disamping atuk. Kini nenek melayari hari-harinya sendiri. Tapi nenek keberatan, mungkin nenek sayang mahu meninggalkan rumah yang merakam berjuta memori indah nenek bersama atuk. Kuatnya cinta nenek.

Suatu hari nenek masuk hospital, itupun Napi anak Mak Usu bagitahu melalui sms ketika aku bekerja sementara dikilang. Yang buat kami terkilan, hampir seminggu nenek di hospital, baru hari itu mereka ada kesempatan nak maklumkan pada kami?? Hmm.. kebetulan ketika itu, kami satu keluarga sedang sibuk kerana isteri Abang Long sedang nak melahirkan. Jadi sudah alang-alang berada di hospital, kami sempat melawat nenek. Masih terbayang wajah kegembiraan nenek setelah melihat kami datang. “patutlah, mak tertanya-tanya jugak kenapa dah seminggu mak kat sini Unos (ayah) dan Ani (mak) tak datang jenguk. Rupanya Ana (Mak Usu) lupa nak beritahu yer” sayu suara nenek di pendengaran aku walau di bibir nenek masih tak lekang dengan senyuman.

Keluar dari hospital, nenek duduk bersama Mak Idah. Suatu petang nenek beriya-iya mahu pulang ke rumah atuk. Abang Sarman suami Mak Idah pun hantar nenek pulang ke rumah kerana sudah tiada daya untuk menghalang kemahuan nenek. Malam itu, nenek minta pakcik buatkan nenek jemput-jemput. Nenek cakap kalau dah siap masak, kejutkan nenek sebab nenek nak tidur sekejap. Puas pakcik kejut-kejut nenek, tapi hanya dengkuran yang kedengaran. Nenek penat barangkali, fikir pakcik.

Pagi itu, jiran sebelah rumah datang kejutkan nenek, sebab biasanya pagi-pagi pintu stor yang bersambung dengan bilik nenek tu dah terbuka. Tapi suasana sunyi dari biasa. Pakcik yang baru nak pergi kerja jengah ke dalam bilik nenek. Nampak nenek masih baring mengiring, dan di tepi katil, kucing-kucing nenek setia menanti nenek.

15hb Mac 2006, setahun sebulan sehari lepas pemergian atuk, nenek pula menyusul. Kalau sebelum pemergian atuk, asma nenek tidaklah seteruk mana, namun selepas atuk pergi nenek makin kerap diserang asma. Nenek sunyi barangkali. Tiada lagi teman berbual sebaik atuk untuk nenek. Saat melihat wajah akhir nenek, aku semakin percaya, kesunyian yang menggamit nenek pergi. Sebelum nenek pergi, nenek sempat menyusun semua kain batik nenek yang elok dan masih baru ke dalam plastik merah. Kad pengenalan pun nenek simpan di tempat yang senang orang nak cari. Nenek selah-olah tahu masanya sudah semakin hampir. Allahhuakbar

Setelah pemergian atuk dan nenek, aku semakin jarang pulang ke rumah pusaka itu. Boleh di kira dengan jari berapa kali aku menjejakkan kaki ke sana. Bukan aku ingin melupakan, namun hatiku tidak betah lagi di sana. Demi melihat katil usang atuk dan nenek kosong, hatiku sebak dan sayu. Ya aku rindukan mereka. Aku rindukan ketupat besar atuk, aku rindukan melihat nenek berdandan. Cara nenek pakai tudung lain dari orang, nenek akan lipat bahagian hadapan tudung menghala ke belakang sehingga menampakkan skaf hitam berliku nenek, dan nenek akan pinkan dengan pin berwarna senada dengan tudung. Pemerah pipi nenek yang berbau wangi itupun sering menggamit rinduku kepada nenek. Ingin sahaja aku lukiskan semuanya tentang nenek agar aku kan sentiasa dapat mengenangnya.

Nenek yang istimewa, yang selalu ingin membuatkan cucu-cucunya gembira disamping beliau. Pernah suatu hari di hari raya, nenek menghulurkan kepadaku dua keping syiling emas. Pemberian yang tidak seberapa kata nenek, namun sangat amat bermakna buatku.

Cinta nenek pada atuk membuat nenek masih kekal di situ walau beribu halangan yang menimpa. Terkebil-kebil mata bundar nenek saat selepas pemergian atuk, nenek mendengar bicara lantang dari Pak Andak, Mak Long dan juga Mak Usu yang menafikan hak nenek sebagai isteri atuk. Hanya ayah yang setia disisi nenek mempertahankan nenek. Namun nenek tetap nenek, walau caci maki yang nenek terima, senyum nenek masih sama. Bijak nenek menyembunyikan gundah dan nanar perasaannya. 

April tahun lepas, pakcik pula menyusul pergi. Pakcik juga seperti nenek, tidak pernah walau sekali mempamerkan rasa hatinya. Beg duit pakcik kosong, malah sudah beberapa hari pakcik tak pergi kerja kerana tak sihat. Tapi tak sedikitpun berita kesusahan pakcik sampai ke pendengaran kami. Hmm…

Atuk, nenek dan pakcik..
Tenanglah kalian di sana. Hanya kiriman doa buat penyambung kasih yang terputus sementara. Al-fatihah.


                                                                                                                                                               
                                                                                                                                                                Nukilan
                                                                                                                                                                               
                                                                                                                                Dari seorang cucu dan anak saudara
                                                                                      16/mac/2012

No comments:

Post a Comment

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers