Thursday, May 19, 2011

maya amira

Dada langit kelabu itu ditenungnya dalam-dalam. Cuba mencari cebisan warna pelangi di sebalik langit kelam tersebut. Namun makin ditenung makin jelas wajah itu kelihatan. Wajah mulus dengan pandangan mata yang berkaca-kaca. Seringkali juga wajah mulus itu mempamerkan riak wajah yang comel dan manja. Dan wajah itulah yang sekarang ini tanpa jemu mendera perasaannya saban hari. Maya Amira. Bibir hitam berkumis tipis itu menyebut sebaris nama yang telah menghuni hatinya sejak lebih 10 tahun yang lalu. Sesungguhnya hanya tuhan yang tahu derita hati Muammar Zaihan menanggung derita merindu. Benarlah kata orang, merindu itu lebih parah dari virus kanser yang memakan sel-sel di badan manusia secara perlahan-lahan. Zaihan terus-terusan melayan nanar perasaannya di serambi rumah. Kekesalan seakan tak pernah jemu mengetuk tangkai hatinya.
 Masih jelas diingatannya suatu waktu dulu dialah yang berkuasa. Jika A katanya, maka A lah jadinya. Tidak kan berubah walau sepicing inci sekalipun disertai dengan sejuta alasan. Hanya Maya, satu-satu isteri yang dikenalinya sejak di zaman persekolahan yang patuh mengikut telunjuknya. Suatu ketika, sedang enak Maya dan Zaihan menjamu selera di Restoran Melati, Maya menyuarakan hasratnya untuk membeli kereta Perodua Myvi auto untuk memudahkan Maya berulang alik ke tempat kerjanya di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Belum pun sempat si isteri menyatakan hujahnya memilih kereta auto, Zaihan telah membentak kasar. “Beli kereta manual, kalau rosak tak banyak sangat pakai duit,”. Terkebil-kebil mata si isteri mendengar jerkahan sang suami. Zaihan lihat wajah Maya menekur lantai, keruh dan mendung. Walaupun Zaihan tahu dengan pasti satu-satunya isteri yang dicintainya itu tidak mahir mengendalikan kereta manual, namun Zaihan tidak mahu mengalah. Hanya kerana dirinya lebih senang menggunakan kereta manual, maka dia juga mahukan isterinya menurut kehendaknya. Walhal Zaihan juga telah mempunyai keretanya sendiri. Sejak hari itu, patuhlah sang isteri menurut kehendak suami. Terkial-kial Maya mahu menyesuaikan diri membawa kereta manual. Zaihan pula hanya tersenyum puas setelah arahannya dituruti.
Pernah juga suatu ketika, kereta Maya rosak angkara dia terlupa mematikan lampu kereta sebelum melangkah ke pejabat. Akibatnya, petang itu, sehabis saja waktu pejabat, kereta Maya tidak dapat dihidupkan. “Abang, tolong sayang. Kereta Maya tak boleh hidup, Maya terlupa matikan lampu pagi tadi”, lirih suara Maya menagih bantuan sang suami. Malangnya apa yang Maya dapat hanyalah tengkingan dan amarah dari Zaihan. “I ni ada meeting kat Kota Damansara tau. Yang you x reti nak matikan lampu sebelum keluar kereta tu kenapa?. Duduklah you kat situ sampai ada orang nak datang tolong. Banyak lagi kerja yang I nak buat ni”, tengking Zaihan sebelum dengan pantas dia mematikan talian. Sebenarnya bukan Zaihan tidak sayang akan isterinya Maya. Malah hanya Maya wanita yang paling disayangi dan dicintainya selain dari ibu kandungnya sendiri. Namun pendirian keras Zaihan yang tidak mahu terlalu memanjakan isterinya menyebabkan Zaihan berubah perilaku. Maka, tinggallah Maya di kawasan parkir kereta itu sehingga Kak Nisa, rakan sepejabat Maya bermurah hati ingin membantu Maya.
 Ketika Maya mengandungkan puteri tunggal mereka Mia Adura, Maya yang manja seperti selalunya dengan mimik wajah comel meminta ingin dibawa berjalan-jalan ke Pulau Pinang untuk menikmati Nasi Kandar di Restoran Beratur iaitu salah sebuah restoran yang cukup terkenal di Pulau Pinang kerana keenakan hidangan nasi kandarnya. Kebetulan pula ketika itu mereka sama-sama sedang menikmati cuti sempena Tahun Baru Cina. Permintaan isterinya itu tidak Zaihan endahkan sama sekali, malah Zaihan hanya membelikan Maya nasi kandar dari kedai mamak berhampiran. Dengan linangan air mata Maya habiskan juga nasi kandar tersebut. Walhal bukan Zaihan tidak berkemampuan untuk membawa isterinya berjalan-jalan ke Pulau Pinang, malah Zaihan sangat mampu. Siapa yang tidak kenal dengan Zaihan. Salah seorang kontraktor muda yang berjaya. Namun sekali lagi pendirian teguhnya tidak mahu terlampau memanjakan Maya merobek luka hati wanita mulus itu.

Maya bukanlah seorang wanita yang mementingkan kebendaan, jauh sekali meminta-minta. Tingkahnya cukup sopan dan manja. Mungkin kerana Maya merupakan anak bongsu dalam keluarga maka itu mempengaruhi sikapnya juga. Zaihan akui sepanjang 8 tahun usia percintaan mereka dan 5 tahun mereka sah menjadi suami isteri, tidak pernah sekalipun Maya menyusahkannya. Maya saban hari akan menyediakan segala keperluannya dan di waktu malam pula tangan Maya lincah memicit-micit menghilangkan lenguh di segenap sendi. Dan sambil itu, dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir, Maya akan petah berbicara tentang hari yang dilaluinya dan tak jemu bertanyakan tentang apa yang telah dilalui oleh suaminya. Walaupun bicara Maya seingkali dijawap dengan sepatah dua perkataan sahaja dari Zaihan, namun Maya tidak pernah berkecil hati. “Xpe lah abang penat abang tidur ok sayang”, bicara manja Maya sambil mengelus lembut kepalanya.
 Zaihan mengeluh lagi. Setelah penat menatap langit kelabu, perlahan-lahan Zaihan melangkah ke biliknya, merebahkan diri di atas katil perkongsian hidupnya dengan Maya suatu waktu dulu. Lamunan dan anganannya tentang memori semalam terhenti sebaik mendengar suatu suara halus memanggil-manggil namanya. “daddy, daddy”, Zaihan menoleh. Mia puteri tunggalnya sedang merenungnya di muka pintu sambil mengepit patung katak milik Maya. Maya memang gemarkan koleksi barangan katak, dan dengan patung katak itu jugalah menjadi tempat buat Mia melepaskan rindu terhadap Maya. “daddy dah tak sayang Mia ke?, daddy x layan Mia pun” bicara halus Mia kian membangkitkan memorinya terhadap Maya. Apa tidaknya, tingkah Mia sangat mirip dengan Maya. Mudah berlinangan air mata bila saja merasa dirinya tidak diberi perhatian. Pernah suatu hari Zaihan sibuk menyiapkan drawing yang diminta pelanggan, Maya menangis teresak-esak kerana merasa Zaihan tidak lagi mempedulikannya. Namun ketika itu bukan pujukan yang Zaihan berikan kepada Maya, malah Maya dimarahi sehingga isteri yang disanjungi itu tertidur dengan linangan air mata. Hanya setelah menyudahkan kerjanya, barulah Zaihan mendekati Maya, mencium dan memeluknya dengan harapan isterinya tahu bahwa dirinya sangat menyintai isterinya itu.
 “Han, apa kamu buat ni? Kesian Mia dari tadi menagis teresak-esak kat depan bilik kamu, tapi kamu tengok je?” jerkahan mama menyentakkan Zaihan dari lamunan yang panjang. “astarghfirullahhalazim” bisik Zaihan mengharap agar dapat diusir segala kenangan yang menyentuh hatinya.  Sungguh dia tidak perasan akan tangisan puterinya kerana baru sebentar tadi Zaihan merasakan dia mendengar esak tangis Maya. Zaihan peluk Mia, memujuk puterinya itu, dan tidak lama kemudian Mia pun lena di atas pangkuannya. “oh tuhan, tingkah Mia serupa macam Maya, merajuk, menangis dan tertidur, Allahuakbar” Zaihan memohon lagi. Memohon agar dikurniakan ketabahan buatnya menghadapi dugaan yang maha hebat ini.
 Malam itu, Zaihan bermimpi lagi. Bermimpi tentang perkara yang sama. Perkara yang terjadi sebelum dirinya tidak lagi bersama Maya. Suatu hari Maya menelefonnya. Dia yang ketika itu sedang sibuk memantau pekerjanya menyudahkan ubahsuai di rumah Tan Sri Halim, hanya menjawap acuh tak acuh sahaja. Maya memberitahu ada kereta yang mengekorinya sejak dari dia keluar pejabat lagi. “alah, biasa lah tu. Dia nak balik ikut sama jalan dengan jalan yang you guna, cuba lar jangan panik tak tentu hala. Kereta tu baru ikut kat belakang, bukan dia dah buat apa-apa pun” jerkah Zaihan cuba menghilangkan kekalutan sang isteri. “kalau dia ada buat perkara-perkara yang membahayakan you, baru you telefon I lagi. Hal-hal remeh macam ni janganlah asyik nak mengadu, buat serabut kepala I jek lar” tambah Zaihan lagi. “panik tak tentu hala!!” keluh Zaihan setelah mematikan talian. Namun, jangkaan Zaihan bahawa kereta yang mengekori isterinya itu tidak mempunyai niat jahat nyata meleset sama sekali. Dua jam setelah menerima panggilan isterinya, Zaihan mendapat satu panggilan dari hospital yang mengatakan Maya kini koma akibat ditetak perompak di persimpangan rumah mereka.
Zaihan bergegas ke hospital tempat Maya dirawat. Menurut jururawat di hospital, Maya yang meminta mereka menghubungi Zaihan. Zaihan melangkah lemah apabila melihat keadaan Maya. Tiada lagi senyuman Maya, tiada lagi renungan manja dan mimik comel wajah isterinya. Kini wajah Maya pucat dan semakin sejuk. Darah pekat mengalir dari hidung, mulut dan telinganya. Zaihan memangku Maya, ditepuk-tepuk perlahan wajah isterinya dengan harapan Maya akan menyapanya seperti selalu. “a..bang...” panggil Maya lemah dan sendu. “ye sayang, sayang jangan risau k. Percaya cakap abang, sayang akan selamat” perkataan “I”, “You” yang selalu Zaihan gunakan apabila bercakap dengan isterinya serta merta bertukar menjadi panggilan “abang”, “sayang”. Zaihan sendiri tidak pasti mengapa lidahnya seringkali keras ingin membahasakan diri “abang” serta memanggil isterinya “sayang” sebelum ini. Walhal, Maya tidak pernah culas memanggilnya dengan panggilan manja yang menenangkan hati. “ma...af..kan.. Ma..ya.. sa..yang.. Ma..ya.. tak sem..pat tele..fon a..bang. Pe...rom..pak tu ambil se...semua ba..rang Ma..ya” ucap Maya lemah. Zaihan tidak lagi mampu membendung curahan air matanya. Di saat genting diserang perompak begitu pun, Maya masih mengutamakan arahan Zaihan supaya menhubunginya jika kereta yang mengekori kereta Maya melakukan sesuatu yang membahayakan dirinya. Maya semakin lemah. Doktor yang merawat Maya menasihatkan Zaihan agar redha dan melepaskan Maya pergi. Menurut doktor, kecederaan akibat ditetak perompak menyebabkan Maya mengalami kehilangan banyak darah.
Akhirnya Maya pergi jua. Meninggalkan Zaihan dan kekesalannya yang tidak berpenghujung. Meninggalkan puteri tunggal mereka Mia Adura yang saling tidak tumpah seperti Maya, renungannya, bicaranya, tingkahnya, mimik wajahnya yang persis sekali ibunya. Mujurlah ketika kejadian Mia berada dibawah jagaan mamanya di Rawang. Jika tidak, pasti kini kelukaan Zaihan bertambah parah lagi. Di pusara Maya, Zaihan bertafakur dengan linangan air mata kekesalan. Jika dia bersikap lebih mengambil berat terhadap isterinya, pasti kejadian itu tidak akan terjadi. Namun, siapalah Zaihan untuk menolak takdir ilahi.
“Maya, tenanglah dikau disana. Biarkan aku di sini mengenggam memori cinta kita, tak kan ku izinkan kau bawa memori ini pergi bersama jasadmu. Di sini aku bersama puteri kita, lambang cinta kita. Maafkan abang, sayang. Sekali lagi, maafkan abang”, bisik Zaihan sendu sebelum berlalu meninggalkan pusara yang masih merah tanahnya itu. 

2 comments:

  1. waa.....bestnye....leh wat novel ni....truskan berusaha ye yunk.....i polow citer u nih....best2.....mcm penah dgr je citer nih...hehehe

    ReplyDelete
  2. wee tengkiu miu my dear.. cite neh inspirasi dr keeg0an s0ang lelaki.. huhuhuuu

    ReplyDelete

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers